Kisah cinta R. Azmi dengan puteri Raja – Antara Dua Darjat
Oleh: ZAHIDI DATO’ HJ. ZAINOL RASHID
Perkembangan lagu-lagu tanahair telah melalui tahun-tahun 1950-an, 1960-an, 1970-an.
Kebangkitan lagu-lagu 1960an dalam era pop yeh yeh telah mengembalikan nostalgia kenangan enam puluhan. Barisan penyanyi-penyanyi 1950 an seperti R Azmi, A. Rahman, Ahmad CB, Momo Latif, Efendi, Rubiah, Nona Asiah amat menarik untuk dikenangi dan diimbas kembali.
Pada tahun 1950an R. Azmi menempa nama sebagai penyanyi. Bermula sebagai penyanyi di majlis kenduri, dia kemudian terpilih menjadi penyanyi filem-filem Melayu pada zaman kegemilangan perfileman Melayu pada tahun 1950an.
Pada ketika itu pengaruh filem-filem Hindi sudah menular. Nama-nama seperti Dilip Kumar, Ashok Kumar, Raj Kapoor, Dev Anand, Madhubala, Nimumi menjadi terkenal. Lagu-lagu Melayu pada masa itu adalah berdasarkan lagu-lagu Hindi. Di dalam filem-filem Melayu suara R. Azmi selalu digunakan untuk suara nyanyian Osman Gumanti, Ali Rahman dan banyak lagi. Di antara lelaki lain yang selalu digunakan untuk lagu filem ialah P. Ramlee dan Aziz Jaafar. Penyanyi wanitanya Nona Asiah, Momo Latif, Lina diikuti oleh Saloma, Rosiah Chik dan Siti Mariam.
Pengarah veteran Omar Rojik dalam satu pertemuan baru-baru ini menceritakan bahawa selepas perang dia ke Singapura untuk menghadiri temuduga sebagai juruteknik dengan Royal Air Force (British).
Oleh kerana gagal dia malu untuk kembali ke Kedah. Pak Omar bertemu dengan R. Azmi yang pada masa itu sedang menempa nama sebagai penyanyi dan menumpang tinggal di bilik sewa Azmi di Jalan Syed Alwi berdekatan dengan New World. Sewanya pada masa itu ialah $7.60 sebulan. Omar juga mendapat kerja sebagai buruh kasar di Syarikat Malay Film Production dengan gaji sebanyak $50.00 sebulan dengan pertolongan R. Azmi. Dari situlah dia mula mengenal dunia filem tempatan.
Nostalgia lagu-lagu R. Azmi yang masih kita kenangi seperti lagu-lagu Hitam Manis, Ayer Mata Kasih, ABC, Dari Kerana Mata dan lain-lain lagu Melayu berirama Hindustan amat popular pada masa itu. Beberapa cerita menarik berkenaan R. Azmi telah diperolehi sungguhpun R. Azmi adalah penyanyi terkenal tetapi dia telah melalui kehidupan yang susah.
Penderitaannya berlarutan sehingga meninggal dunia. R. Azmi pernah bercinta dengan seorang puteri raja tetapi percintaan tersebut menemui kegagalan. Filem ‘Antara Dua Darjat’ dikhabarkan ada kaitan dengan percintaan R. Azmi. Filem ‘Antara Dua Darjat’ adalah salah sebuah filem P. Ramlee yang dianggap mempunyai sindiran terhadap masyarakat yang berkasta.
Mohd Rafee Ghazali Sumatri seorang pelakon berbakat Kedah menceritakan bahawa biduan R. Azmi di akhir hayatnya hidup dalam kesusahan. Tiada apa yang ada pada beliau. Biduan R. Azmi pada tahun 1951 telah mengikat kontrak dengan Malay Film Production sebagai penyanyi untuk lagu-lagu filem keluaran Shaw Brothers. Beliau ketika itu tinggal di rumah barek Boon Teik Road bersama pelakon seperti Siput Sarawak, Roomai Noor, P. Ramlee, Osman Gumanti, Rukiah, Neng Yatimah, D. Haris. Pada satu waktu bilangan artis dan karyawan yang tinggal di situ ialah seramai 150 orang.
Bayaran untuk penyanyi pada masa itu adalah antara $30 hingga $50 bagi sebuah lagu. Jalan cerita filem-filem Melayu pada tahun 1950an tidaklah panjang. Ianya menjadi panjang apabila disertakan dengan beberapa lagu untuk dinyanyi dan ditarikan. Apabila dikumpul bahagian nyanyian dan tarian sahaja mungkin satu pertiga darpada seluruh filem itu.
Tiap-tiap satu lagu memakan masa antara 3 hingga 5 minit. Jadi jikalau sebuah filem ada 7 lagu hitung panjang sudah ada lebih 30 minit sedang panjang sesebuah filem itu adalah 90 hingga 100 minit sahaja.
Pengkritik tidak setuju tentang adanya lagu-lagu dan tarian di filem tempatan kerana babak seperti ini sengaja diadakan dan tidak kena pada tempatnya. Mereka berpendapat filem-filem Melayu terlampau keindiaan dalam cara penyampaiannya. Penerbit-penerbit filem pada masa itu tidak peduli kerana mereka berpendapat penonton perlu hiburan. Mereka akan terhibur dengan cerita, lagu-lagu, nyanyian dan tarian. Penerbit dapat duit daripada hasil sampingan dari jualan piring hitam lagu-lagu filem itu.
Harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan nama R. Azmi menempa nama dan disanjung. Lagu-lagu nyanyiannya menjadi popular. Namun di sebalik kemasyhuran peminat tidak tahu di sebalik cerita cerita seniman dalam kenangan. Inilah seniman membakar lilin untuk menyinari orang lain!
No comments:
Post a Comment