Monday, March 2, 2009

Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman: Beberapa catatan lisan yang menarik

Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman: Beberapa catatan lisan yang menarik
Oleh: Zahidi bin Dato’ Hj. Zainol Rashid

ALMARHUM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj adalah negarawan berjiwa rakyat yang lahir di sebuah istana raja. Kisah perjuangan Almarhum dalam menuntut kemerdekaan tanpa titisan darah dan kebijaksanaan beliau menyatupadukan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum. Beliau mengambil bahagian penting dalam penubuhan Malaysia. Juga pembentukan negara-negara Asia Tenggara di dalam gagasan ASEAN. Beliau telah meletakkan asas-asas bagi kestabilan negara, persefahaman dan keharmonian di kalangan pelbagai kaum di Malaysia.
Almarhum Tunku mempunyai karisma yang sangat unik. Tidak dapat dicari perbandingan dengan beliau. Ketika berkhidmat beliau dianggap sebagai ‘the happiest Prime Minister’ dan telah memimpin negara hampir 13 tahun. Tunku mempunyai kualiti istimewa yang semulajadi. Amalan hidupnya seperti rakyat biasa bukan direka-reka. Kualiti itu sentiasa bersemadi dalam jiwa Tunku sejak kecil.
Pada 17 Mei 1995 satu Majlis Pengkisahan Sejarah Almarhum Tunku Abdul telah diadakan di Audotorium Tunku Abdul Rahman. Tiga ahli panel yang dijemput ialah YTM Tunku Datin Paduka Khatijah, YTM Tunku Dato’ Dr Ismail dan YTM Tunku Mukminah. Berikut adalah catatan menarik pengkisahan mereka yang sempat dicatatkan.

YTM TUNKU DATIN PADUKA KHATIJAH BT ALMARHUM TUNKU ABDUL RAHMAN

Beliau adalah puteri sulung Almarhum Tunku Abd Rahman. Dilahirkan pada 8 Oktober 1932 di Kedah. Semasa kecil beliau diasuh oleh pengasuh Siam. Beliau pernah dipelihara oleh Tunku Habsah. Beliau telah mengikuti kursus dandanan rambut di Singapura.
Mengikut beliau di Residensi pada masa Tunku menjadi Ketua Menteri, ada terdapat 70 orang anak-anak tukang kebun dan tukang masak.
Almarhum amat pantang pada nombor 13. Kalau jumlah nombor 13 beliau akan memanggil beliau untuk cukup 14. Almarhum akan berehat selepas makan tengahari dan beliau tidak suka dibangunkan. Almarhum suka menolong orang miskin. Almarhum memberi tanah beliau di Langkawi untuk buat masjid. Tanah Almarhum di Alor Setar telah dijadikan rumah anak yatim.
Falsafah beliau ialah apabila kita menolong orang miskin mereka akan dikenang seumur hidup.

YTM TUNKU MUKMINAH BT. TUNKU MOHD. JEWA

Beliau adalah anak saudara kepada Almarhum Tunku Abd Rahman. Menurut beliau Almarhum Sultan Abd Hamid iaitu bapa Almarhum Tunku Abdul Rahman memanggil Tunku dengan nama Awang di kalangan keluarga Tunku dipanggil Ku Tam atau Ayah Tam sebab Tunku agak hitam jika dibandingkan dengan saudara-saudara lain. Makanan kegemaran Tunku ialah itek golek dan putu mayong dicicah dengan gulai semalam. Untuk sarapan pagi Tunu menggunakan teh dua uncang iaitu teh Lipton untuk perasa dan teh Boh untuk warna. Tunku adalah anak ke-20

YTM. TUNKU DATO’ DR. ISMAIL BIN TUNKU MOHD. JEWA

Beliau adalah anak saudara kepada Al-marhum Tunku Abd. Rahman, mengikut beliau Almarhum selalu dukacita dengan nama beliau dieja ‘Tengku’ kerana mengikut ejaan Kedah ialah Tunku. Tunku mendapat didikan di King College di Bangkok yang ada persamaan dengan ‘Public School di England. Tok Dalam adalah gelaran kepada Cik Manjalara, ibu kepada Almarhum Tunku. Atas sokongan Tunku Mohd Jewa, Tunku telah dihantar ke England dalam tahun 1946. Dalam tahun 1949, Almarhum tinggal di Telok Ayer Tawar, Butterworth. Pada tahun 1956 Almarhum telah menghantar surat kepada Tunku Ismail untuk tinggal bersama beliau di Kuala Lumpur. Mengikut Tunku Ismail, perhubungan bapa saudara beliau iaitu Almarhum Tunku dengan beliau dianggap sebagai rakan berbanding dengan bapa-bapa saudara lain yang masih ‘feudalistik’.
Almarhum Tunku mempunyai sifat-sifat peribadi mulia seperti suka menolong rakan-rakan. Beliau telah memberi RM4000 kepada T.H. Tan, Setiausaha MCA apabila beliau di dalam kesusahan. Ada setengah kalangan mengambil kesempatan daripada sifat baik Almarhum. Mengikut beliau J.D. Hall, Penasihat British pada masa serangan Jepun telah mengambil keputusan membawa Almarhum Sultan Abd Hamid daripada Alor Setar ke Pulau Pinang. Jeneral Manaki mengetuai serangan Jepun ke atas Alor Setar. Tiga orang askar Jepun telah dihukum secara ‘hara kiri’ kerana merompak rumah Tunku Mohd. Jewa. Mengikut Tunku Mukminah, Almarhum Tunku menggunakan minyak rambut yang dibuat daripada minyak kelapa dan lilin. Untuk kesihatan, Almarhum memakan ginseng.
Baru-baru ini di Federal Hotel, Kuala Lumpur sebagai menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke 39 telah berlangsung pesta makanan kegemaran Almarhum Tunku Abd Rahman. Dua orang yang rapat dengan ‘Bapa Kemerdekaan’ iaitu Encik Ismail Osman, 68 tahun dan Puan Noriah, 62 tahun telah menyediakan makanan tersebut. Kedua-dua pasangan suami isteri ini telah berkhidmat dengan Almarhum Tunku selama 40 tahun.
Daripada penceritaan Puan Noriah makanan kegemaran Almarhum ialah cucur udang, sambal udang petai, sup ekor dan otak-otak. Mengikut Puan Noriah mereka selalu menyediakan 10 jenis makanan untuk makanan tengahari. Sekiranya Tunku tidak mahu makan nasi Puan Noriah akan menyediakan mee rebus, mee siam atau spaghetti. Segala rempah ratus digiling oleh seorang perempuan India. Unyuk jamuan malam Tunku selalunya akan memasaknya sendiri. Untuk ‘desert’ Tunku makan kuih-kuih seperti spera, pulut udang, kuih cara dan lompang. Tunku amat halusi berkenaan minuman teh. Beliau akan tahu sekiranya air tidak masak. Untuk ramuan teh Tunku akan mencampurkan daun teh Lipton dan Boh.

0 comments: