Tuesday, March 3, 2009

DR KATNI KAMSONO KIBAT DALAM KENANGAN

Berita kematian Dr Katni pada 15 November 1998 mengejutkan dan mengemparkan warga ITM dan dunia perpustakaan. Cerita bagaimana beliau dirempuh kereta ketika mencuci kereta amat tragis. ‘Beliau bercadang ke airport untuk mengambil isteri beliau yang pulang dari luar negeri selepas mencuci kereta,’ jelas Prof Madya Dr Raja Abdullah Yaacob, Dekan Fakulti Pengajian Maklumat, Institut Teknologi MARA. Dr Katni merupakan bekas pelajar ITM dan pelajar kumpulan pertama bidang perpustakaan.
‘Beliau mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan merupakan anak Malaysia yang awal mendapat PhD dalam bidang perpustakaan, ‘ kata Datin Paduka Shahenem Hanum Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, rakan pengajian Dr Katni ketika di ITM.
Sumbangan dan jasa-jasa Dr Katni amat besar dan perlu dikenang. Sebagai ketua kajian Sains perpustakaan dan Maklumat ITM beliau berusaha mendapat pengiktirafan Diploma Sains perpustakaan setaraf dengan ijazah universiti. Hasil usaha beliau beberapa kertas kerja dan laporan telah disiapkan seperti ‘Memorandum MITASA ke JPA, Penyelidikan Yayasan Sabah. Beliau turut membentang kertas kerja didalam dan luar negeri.
Dr Katni adalah putera negeri Selangor dan dilahirkan di Kuala Selangor pada 10 Januari 1947. Mula mendapat pendidikan di Sekolah Sultan Abdul Aziz dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Sekolah Tuanku Abd Rahman, Ipoh. Pada tahun 1970 beliau melanjutkan pelajaran ke ITM dan memperoleh ALA. Beliau melanjutkan pelajaran di Wilmington College Ohio diperingkat ijazah sarjana muda. Pada tahun 1973 beliau melanjutkan pelajaran diperingkat sarjana di Western Michigan Univercity. Dr Katni kembali dan menjadi tenaga pengajar di Kajian Sains perpustakaan selama 5 tahun. Pada tahun 1978 beliau belajar peringkat PhD di Universiti Pittsburgh.
Sejak dikampus lagi ternyata anak muda ini amat aktif sekali dalam kesatuan pelajar. Beliau menduduki exco KSITM dan giat dalam aktiviti sukan. Ketika menuntut di Universiti Pittsburgh beliau telah dilantik menjadi Presiden International Student Association. Beliau pernah menjadi Naib Presiden MITASA dan AJK Persatuan Catur Melayu Malaysia. Beliau juga menganggotai Persatuan Perpustakaan Malaysia, Persatuan Tae Kwondo Selangor, Persatuan Pengguna Selangor dan UMNO Selangor. Dr Katni telah mendiri rumah tangga dengan Marnie dan telah dikurniakan 2 orang cahaya mata. Semoga Allah mencucuri rahmat keatasnya. Amin yarabulalamin.

0 comments: