Monday, March 2, 2009

Omar Rojik Dari mekanik ke Pengarah Filem

Omar Rojik Dari mekanik ke Pengarah Filem

Oleh ZAHIDI DATO’ HJ. ZAINOL RASHID

Kalau disebut nama Omar Ali, mungkin ramai yang tidak mengetahui siapakah yang dimaksudkan tetapi kalau disebut nama Omar Rojik, pastinya nama itu akan mengingatkan kita akan filem-filem Melayu lama seperti Sumpah Wanita, Singapura di Langgar Todak dan beberapa filem lama yang masih diminati sehingga kini.
Menyingkap sejarah hidupnya, Omar Rojik yang lebih mesra dengan panggilan Pak Omar datang dari keluarga yang miskin dan terpaksa menumpang membuat pondok di tanah orang.
Pak Omar dilahirkan pada 23 November 1925 di Kulim, Kedah. Ayah beliau, Ali Ibrahim, berketurunan Rawa manakala ibunya, Raonah Senapi berketurunan Acheh. Ayah Pak Omar tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hidup merantau dari satu tempat ke satu tempat.
Pak Omar mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Korok, Alor Setar, Kedah, kemudiannya di Sekolah St. Michael Kampung Perak, Alor Setar.
Memulakan kerjayanya sebagai mekanik kapal terbang tentera Jepun di Kepala Batas. Ketika itulah. Pak Omar sedikit sebanyak mempelajari Bahasa Jepun.
“Penderitaan di zaman Jepun tidak kenal kepada perkataan ‘siasatan’ ataupun ‘perbicaraan’.” Tiga tahun lamanya, Pak Omar bekerja sebagai mekanik kapal terbang di lapangan terbang Kepala Batas dan selama itulah Pak Omar tidak dibenarkan pulang ke rumah.
“Walaupun kehidupan Pak Omar tak ubah seperti dalam kurungan, makan minum dan tempat tinggal disediakan oleh pihak Jepun” cerita Pak Omar ketika ditemui di Majlis Pengkisahan Sejarah ‘Zaman Jepun di Kedah’ baru-baru ini.
Menurut Pak Omar, terdapat 40 orang tempatan bekerja bersama-sama dengannya.
“Ada pegawai-pegawai Jepun yang Pak Omar masih ingat nama mereka, antaranya ialah Suzuka, Sato dan Babakunzo. Pernah kami dipaksa cukur kepala seperti orang Jepun tapi kami membantah,” ujar Pak Omar.
Apabila Jepun menyerah kalah, Pak Omar pulang ke Kedah dan bekerja dengan Bapak Dahlan di Pekan Rabu sebagai penjahit serban. Pak Omar kemudiannya ke Singapura untuk memohon jawatan mekanik kapal terbang di RAF Singapura tapi malangnya, beliau gagal dalam temuduga.
Pak Omar kemudiannya menumpang tinggal di rumah penyanyi R Azmi. Menerusi R Azmilah, Pak Omar diterima bekerja di Syarikat Melayu Filem Productions.
“Disinilah Pak Omar mula berjinak-jinak dalam dunia perfileman. Pada awal penglibatannya, Pak Omar hanya diberi peluang memegang peranan kecil sahaja.
“Filem pertama lakonan Pak Omar ialah Pembalasan arahan L. Krishnan manakala dalam filem Rayuan Sukma Pak Omar diberikan watak pelakon tambahan menggantikan A. Rahim,” jelas Pak Omar.
Kerana ketekunannya, Pak Omar diberi kepercayaan yang lebih penting sehingga dilantik menjadi Penolong Pengarah seterusnya menjadi Pengarah.
“Ketika zaman kegemilangan filem Melayu pada tahun 1950an, pengarah dan kakitangan Syarikat Malay Filem Production diberi gaji bulanan dan bonus.
“Studio MFP ketika itu lengkap dengan peralatan kamera, lampu dan sebagainya. Pengarah zaman dahulu juga berkebolehan untuk menulis skrip sendiri,” ujar Pak Omar lagi.
Selain dari bekerja dengan MFP, Pak Omar juga pernah bertugas dengan Merdeka Filem Production, Kuala Lumpur (1967), penyunting skrip drama RTM, Sabah Filem Production dan Gaya Filem Sdn Bhd.



Antara filem-filem arahan Omar Rojik
1. Sumpah Wanita 1960
2. Pertarungan 1960
3. Panji Semirang 1961
4. Singapura di Langgar Todak 1961
5. Kasih tanpa Sayang 1962
6. Pilih Menantu 1962
7. Jeritan Batin 1963
8. Singa Besar 1964
9. Sayang Si Buta 1965
10. Takdir 1965
11. Dahaga 1966
12. Aksi Kucing 1966
13. A Go Go 1967

0 comments: